BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jun – MS ABDB
terselamat dari kebangkitan lewat Kilanas FC untuk mencatatkan
kemenangan berharga 2-1 sekaligus meraih tiga mata lagi untuk terus
mengejar Indera SC di persada Liga Super DST-NFABD 2014.
Kemenangannya di Kompleks Sukan Berakas malam tadi itu
membolehkannya mengumpul 34 mata dari 15 permainan, satu mata di
belakang Indera SC yang baru bermain 13 kali.
Md Khairuddin bin Abdul Kadir membawa MS ABDB ke depan
empat minit sebelum rehat untuk MS ABDB menamatkan separuh masa pertama
dengan pendahuluan 1-0, sebelum Soldadu Md Baharin bin Hamidon
menjadikan kedudukan 2-0 di babak kedua pada minit ke-62.
Ketika perlawanan nampak akan menjadi kemenangan rutin
buat MS ABDB, Kilanas FC mencemaskan pihak pengurusan dan para pemain MS
ABDB apabila Md Nor Aliffullah bin Haji Zaini mencantas pendahuluan MS
ABDB kepada satu gol saja menerusi jaringannya pada minit ke-81.
Sembilan minit terakhir perlawanan bagai suatu masa yang
lama buat MS ABDB sebelum mampu menarik nafas lega apabila pengadil
perlawanan meniupkan wisel penamat dengan kemenangan berpihak kepadanya
walau sekadar tipis 2-1, tetapi tetap cukup untuknya meneruskan usaha
mengejar Indera SC.
Md Khairuddin (16) dan Md Baharin (8) masing-masing menyumbangkan 1 gol dalam kemenangan 2-1 MS ABDB ke atas Kilanas FC.
No comments:
Post a Comment