Search This Blog

Friday, June 27, 2014

QAF FC catat sejarah liga


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – QAF FC mencatat dua sejarah dalam Liga Super DST-NFABD 2014 untuk gol terpantas dan jumlah jaringan terbanyak dalam satu perlawanan, sekali gus memperbaiki perbezaan golnya dari -3 kepada +5 selepas membelasah Wijaya FC 8-0 malam tadi.

Hanya beberapa saat dari sepak mula, QAF FC sudah membuka tirai jaringan menerusi Md Adie Arsham bin Md Salleh, sebelum digandakan oleh Md Mardi Mirza bin Abdullah Bujang selang 14 minit kemudian.

Kedudukan 3-0 pada minit ke-29 menerusi jaringan Saiful Arizal bin Haji Ishak, dan dua minit kemudian QAF FC terus ke depan dengan gol kedua Md Adie Arsham untuk mendahului 4-0.

Kemudian giliran Hardi anak Bujang pula mencatatkan namanya dalam buku catatan penjaring pada minit ke-34, dan kedudukan 5-0 kekal sehingga separuh masa pertama tamat.

Walau bagaimanapun, pada perlawanan di Kompleks Sukan Berakas itu, QAF FC terus menambah gol keenam, enam minit selepas rehat menerusi rembatan Md Mardi Mirza.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/06/p21_1_20140627.jpg

Md Mardi Mirza (kanan) mencipta hatrik pada minat ke-85 untuk gol kelapan QAF FC dalam kemenangan 8-0 ke atas Wijaya FC.

Pada minit ke-64 kedudukan menjadi 7-0 apabila Afindi Yati bin Tuah pula menyumbangkan gol buat QAF FC, dan ketika jaringan 7-0 sudah cukup besar, Md Mardi Mirza masih sempat mencipta hatrik apabila melencongkan bola dari sepakan percuma depan kotak Wijaya FC yang menerjah gawang kiri untuk gol kelapan QAF FC.

QAF FC setakat ini sudah mengumpul 17 mata, satu baki permainan, dengan lawan terakhirnya September nanti adalah pendahulu Indera SC, dan satu-satunya peluang untuknya mencapai 20 mata adalah menjadi pasukan pertama mengalahkan Indera SC. Indera SC hanya perlu seri dengan QAF FC untuk mengesahkan kejuaraan musim ini.

Dengan kekalahan ini, Wijaya FC menamatkan kempen Liga Super dengan 14 mata selepas menang empat, dua seri dan 10 kalah untuk selesai di tangga ketujuh selepas pasukan Jerudong FC seri 0-0 dengan Najip FC malam ini untuk menamatkan kempen dengan hanya 12 mata.

No comments:

Post a Comment