TUTONG, 16 Dis – Indera SC berpeluang mengubati lukanya terlepas
mempertahankan kejuaraan Liga Super DST musim ini apabila melangkah ke
perlawanan akhir Piala FA DST 2015 malam tadi dengan kemenangan bergaya
4-1 ke atas IKLS FC.
Kejayaannya mara itu menidakkan kembara dongeng IKLS FC berakhir
dengan kegembiraan walaupun buat seketika kegembiraan itu seolah-olah di
depan mata IKLS FC ketika kedudukan 1-1 mencecah sehingga minit ke-80
perlawanan.
Separuh masa pertama berakhir 1-0 memihak Indera SC, hasil jaringan Muhd Nur Ikwan bin Othman pada minit ke-35.
Kedudukan tidak berubah sehingga rehat dan ketika perlawanan
disambung ke separuh masa kedua, IKLS FC jelas bermain untuk menang
sehingga berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Atifuddin
@ Amir Mumduh bin Momin pada minit ke-61. Hamizan
(depan, 2 dari kiri) dan Mohd Nur Ikwan (belakang, 3 dari kanan)masing-masing menjaringkan dua gol bagi membantu Indera SC menang 4-1 ke
atas IKLS FC.
IKLS FC kelihatan berjaya mengimbangi kekuatan naib juara Liga Super
DST 2015 itu sehinggalah sepuluh minit terakhir perlawanan apabila
Indera SC mula melakukan tugasannya memuktamadkan perlawanan melangkaui
jangkauan IKLS FC dengan ledakan tiga gol.
Hamizan Aziz bin Sulaiman meledakkan dua gol dalam tempoh tiga minit
iaitu pada minit ke-81 dan ke-83 untuk segera memberikan Indera SC
kelebihan dua gol pada kedudukan 3-1.
Kemudian Muhd Nur Ikwan bin Othman menambah luka IKLS FC sekali gus
menamatkan segala peluang kebangkitan lewat dengan catatan gol kedua
peribadinya pada masa kecederaan, minit ke-90+1 sekali gus menamatkan
perlawanan dengan kedudukan 4-1.
Indera SC kini hanya perlu menanti siapa lawannya di perlawanan akhir
nanti, sama ada juara bertahan dan juara Liga Super DST 2015 yang baru
dimahkotakan, MS ABDB ataupun pasukan kejutan, Tabuan Muda.
No comments:
Post a Comment