TUTONG, 8 Dis – MS ABDB berjaya melepasi dua ujian sukar dalam tempoh
tiga hari saja untuk melangkah ke suku akhir Piala FA DST 2015 bermula
dengan membelasah Wijaya FC 9-1 pada 4 Disember dan kemudiannya
mengalahkan Jerudong FC 3-1 malam tadi.
Pada perlawanan pusingan ketiga kali kedua buat MS ABDB di Kompleks
Sukan Tutong malam tadi, Jerudong FC yang menerajui perlawanan menerusi
jaringan Mohd Mardi Mirza bin Abdullah Bujang pada minit ke-23.
Namun Lans Korporal Suhaime bin Haji Mohd Yussof sempat menyamakan
kedudukan buat pasukan tentera itu pada minit ke-41 iaitu empat minit
sebelum rehat untuk mengikat jaringan kedua-dua pasukan pada 1-1.
Seminit selepas rehat, giliran juara bertahan Piala FA DST itu pula
mengemudi perlawanan, 2-1, apabila Soldadu Razimie bin Ramli menghukum
kealpaan pemain Jerudong FC sejurus sepak mula untuk menggegar gawang
lawan. MS ABDB kekal dalam laluan mempertahankan Piala FA DST apabila mara ke suku akhir menerusi ke-menangan 3-1 ke atas Jerudong FC.
Di sebalik percubaan pasukan lawan membolosi gawangnya yang gagal,
jaringan Sarjan Adey Shariduan bin Haji Johari ketika perlawanan masih
berbaki tujuh minit lagi seolah-olah sudah cukup untuk membunuh semangat
kebangkitan Jerudong FC sehingga menyebabkan kedudukan 3-1 kekal
sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.
Kemenangan itu menjadikan MS ABDB satu-satunya pasukan yang berjaya
mara ke suku akhir Piala FA DST setelah melalui dua perlawanan pusingan
ketiga kerana perlu menentang pasukan ‘bye’, Jerudong FC terlebih dulu
sebelum dibenarkan melangkah ke suku akhir walaupun sudah menang
perlawanan pusingan ketiga ke atas Wijaya FC.
Lebih menarik perhatian lagi adalah apabila MS ABDB membelasah Wijaya
FC 9-1 dalam perlawanan di tempat yang sama tetapi tiga malam lebih
awal itu yang menyaksikan tujuh orang pemain MS ABDB menjadi penjaring.
Pada perlawanan itu, sebagaimana perlawanannya menentang Jerudong FC
malam tadi, MS ABDB tertinggal 0-1 selepas Sigit Prsetia meledakkan
jaringan buat Wijaya FC pada minit ke-15.
Namun selepas dibolosi itu, MS ABDB mula mengamuk bermula dengan
ledakan jaringan Soldadu Abdul Azizi bin Ali Rahman pada minit ke-19,
disusuli jaringan Lans Korporal Suhaime dua minit kemudian dan jaringan
kedua peribadi Soldadu Abdul Azizi pada minit ke-24 untuk kedudukan 3-1
kekal sehingga rehat.
MS ABDB meneruskan amukannya pada separuh masa kedua dengan
penghasilan enam gol lagi iaitu Mohd Bahrin pada minit ke-52, Mohd
Mazazizi pada minit ke-56, Razimie pada minit ke-62, Mohd Fadhli pada
minit ke-70 dan ke-77, dan Mohd Yusri pada minit ke-74.
Lawan MS ABDB di peringkat suku akhir nanti ialah Kasuka FC, yang
sudah awal mara pada pertengahan November lalu selepas berjaya
mengalahkan Lun Bawang dengan jaringan tipis 1-0.
No comments:
Post a Comment