BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – MS ABDB meneruskan
kemaraannya ke separuh akhir Piala FA DST 2015 setelah menewaskan Kelab
Liga Perdana DST 2015, Kasuka FC dengan jaringan 5-1 malam tadi.
Tenaga dan momentum MS ABDB ternyata tidak berkurangan walaupun
terpaksa mengharungi tiga perlawanan besar dalam tempoh hanya seminggu
iaitu kemenangan besar 9-1 ke atas Wijaya FC pada 4 Disember disusuli
dengan menewaskan Jerudong FC 3-1 pada 7 Disember dan terkini menang
bergaya 5-1 ke atas Kasuka FC.
Lebih manis lagi dalam perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks
Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) berkenaan ialah apabila penjaring
utama MS ABDB, Soldadu Abdul Azizi bin Ali Rahman berjaya meledakkan
empat jaringan.
Dia membuka akaun jaringannya pada minit ke-14 untuk membawa MS ABDB
di depan, 1-0, sebelum ditambah oleh rakannya, Soldadu Razimie bin Ramli
empat minit kemudian untuk kedudukan berubah menjadi 2-0.
Soldadu Abdul Azizi mendapat jaringan keduanya pada minit ke-29 untuk kedudukan 3-0 yang kekal sehingga rehat. Soldadu
Abdul Azizi dibantu bangun oleh rakannya selepas dia meledakkan gol
keempat peribadi dan kelima MS ABDB dalam kemenangan 5-1 ke atas Kasuka
FC malam tadi.
Dua minit selepas rehat Kasuka FC mendapat talian hayatnya apabila
Muhammad Hafis bin Mahari berjaya merobek gawang MS ABDB sekali gus
mencantas pendahuluan MS ABDB kepada hanya dua gol.
Pada minit ke-57 Soldadu Abdul Azizi mencatat hatrik menerusi
serangan balas pantas MS ABDB untuk merubah kedudukan menjadi 4-1 sekali
gus mengembalikan pendahuluan tiga gol pasukannya.
Jaringan hatrik itu bukan menjadi kelibat terakhirnya menggegar
gawang Kasuka FC apabila dalam situasi serupa pada minit ke-73, dia
berjaya menyepak bola masuk ke gawang lawan hasil daripada hantaran
lintang rakannya di sayap kanan.
Kini MS ABDB hanya perlu menanti lawannya di peringkat separuh akhir
nanti, sama ada Tabuan Muda ataupun finalis yang ditewaskannya musim
lalu, Najip I-Team. – Hasrulraizan
No comments:
Post a Comment