TUTONG, 17 Dis – Gelaran ‘Juara Berganda Musim 2015’ dan
‘Hatrik Piala FA DST’ kini menanti untuk dilakar MS ABDB menjadi sejarah
arena bola sepak Brunei Darussalam sejak Liga Super DST dan Piala FA
DST diperkenalkan oleh NFABD pada 2013.
Masih segar menjulang kejuaraan Liga Super DST 2015 pada 13 Disember
lalu, MS ABDB kekal dalam laluan menjadi pasukan pertama turut menjulang
Piala FA DST pada musim yang sama apabila berjaya menewaskan pasukan
kejutan, Tabuan Muda, 2-1 di perlawanan separuh akhir kedua Piala FA DST
2015 malam tadi.
Tabuan Muda memberikan saingan sengit kepada pasukan tentera yang
sudah menjulang Piala FA DST dua tahun berturut-turut (2013 dan 2014)
berkenaan sehinggakan separuh masa pertama perlawanan di Kompleks Sukan
Tutong itu berakhir tanpa jaringan.
Separuh masa kedua kekal tanpa jaringan sehinggalah perlawanan
memasuki suku kedua apabila tiga jaringan berjaya dihasilkan, dua oleh
MS ABDB dan satu oleh Tabuan Muda.
Tirai jaringan dibuka oleh Soldadu Razimie bin Ramli pada minit ke-62
untuk MS ABDB mendahului 1-0 tetapi penyerang muda sensasi Brunei
Darussalam, Mohd Nur Syazwan bin Halidi mengejutkan pertahanan MS ABDB
dengan jaringannya pada minit ke-67 untuk mengikat kedudukan pada 1-1. Final
Piala FA DST 2015 akan menyaksikan pertembungan ‘heavyweight’, MS ABDB
(biru) lawan Indera SC (hijau), dua pasukan terkuat tanahair ketika ini.
Walau bagaimanapun kegembiran Tabuan Muda hanya seketika apabila
Soldadu Razimie sekali lagi berjaya membolosi gawang Tabuan Muda, hanya
lapan minit kemudian iaitu pada minit ke-75 untuk mengekalkan
pendahuluan satu gol MS ABDB, kali ini dengan jaringan 2-1.
Tanpa ada lagi jaringan dihasilkan dalam tempoh baki lima belas minit
perlawanan, MS ABDB meraikan kejayaannya berjaya layak ke final Piala
FA DST buat tahun ketiga berturut-turut sekaligus membuat temu janji
dengan musuh tradisinya, Indera SC.
Indera SC yang kehilangan mahkota Liga Super DST kepada MS ABDB
pastinya menghidu peluang untuk membalas dendam dengan merebut mahkota
kejuaraan Piala FA DST daripada tangan juara bertahan, MS ABDB.
Indera SC pernah melakukannya pada Januari 2015 apabila merebut
Perisai Sumbangsih DST 2015 daripada MS ABDB dengan mengalahkan pasukan
tentera itu 2-0, tetapi dalam Pusingan Pertama Liga Super DST 2015 MS
ABDB menang 2-1 ke atas Indera SC untuk mengimbangi semula pertemuan
antara kedua-dua pasukan musim ini.
Apa yang pasti para peminat bola sepak tanah air boleh menjangkakan
perlawanan hebat antara dua pasukan terkuat tanah air ini bagi menutup
tirai jadual perlawanan bola sepak berprestij bertaraf kebangsaan musim
ini yang akan berlangsung pada Sabtu, 19 Disember ini di Stadium Negara
Hassanal Bolkiah bermula pukul 9:00 malam. – Hasrulraizan
No comments:
Post a Comment