Oleh Hasrulraizan
Muhammad Hafis menjaringkan hatrik bagi membantu QAF FC menang tipis 4-3 ke atas Kilanas FC.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb - Muhammad Hafis Mahari menjadi wira QAF FC malam ini apabila
menyumbangkan gol kemenangan dan hatriknya pada minit ke-83 selepas Kilanas FC bangkit dari
ketinggalan 0-3 untuk menyamakan kedudukan menjadi 3-3 pada minit ke-76.
Kemenangan itu melonjakkan QAF FC ke tangga ke-5 dengan 10 mata bagi kekal berada di landasan tepat
untuk mencabar empat pasukan teratas: MS ABDB (16 mata), Indera SC (13 mata), MS Polis Diraja Brunei
(13 mata) dan Majra United FC (12 mata), tatkala QAF FC baru bermain lima kali berbanding enam kali
bagi empat pasukan teratas itu.
Kapten Kilanas FC seolah-olah sudah berjaya menghadiahkan satu mata buat pasukannya apabila berjaya
menjaringkan gol ketiga Kilanas FC pada minit ke-76 bagi menyamakan kedudukan, namun Muhammad
Hafis menidakkan satu mata itu dengan jaringan ketujuh bagi perlawanan malam ini untuk sebaliknya
menghadiahkan tiga mata berharga buat QAF FC.
Ratano Haji Tuah membuka tirai jaringan perlawanan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah berkenaan pada
minit ke-9, sebelum Muhammad Hafis membuka tirai jaringan peribadinya malam ini bagi jaringan kedua
QAF FC pada minit ke-29 dengan jaringan tandukan terbang.
Muhammad Hafis memberikan keselesaan kepada rakan-rakannya apabila menyumbangkan gol ketiga QAF
FC pada minit ke-40, melalui tendangan mudah ke gawang terbuka Kilanas FC.
Mohd Nor Hidayatullah Haji Zaini memberikan petanda awal kebangkitan Kilanas FC apabila sempat
menjaringkan gol pada minit ke-45, untuk membawa jaringan 1-3 ke separuh masa kedua.
Harapan Kilanas FC untuk sekurang-kurangnya mendapatkan keputusan seri semakin meningkat apabila
Izzul Wazien Osman menjadikan kedudukan 2-3 pada minit ke-56, iaitu selang 11 minit selepas bermulanya
babak kedua berkenaan.
Kapten Kilanas FC, Mohd Razi Haji Lamit menginspirasikan kebangkitan Kilanas FC apabila berjaya
menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-76, untuk mengikat kedudukan menjadi 3-3, tatkala perlawanan
berbaki 14 minit.
Walaubagaimanapun dalam serangan balas pantas QAF FC pada minit ke-83, Kapten QAF FC, Riwandi
Wahit memecut pantas di sebelah sayap kanan sebelum membuat hantaran silang yang berjaya disambut
Muhammad Hafis dengan tendangan kaki kanannya bagi memberikan QAF FC kelebihan satu gol.
Baki 7 minit perlawanan dan ditambah lagi dengan 4 minit masa
kecederaan yang diberikan pengadil, detik-detik 11 minit terakhir
perlawanan itu menjadi semakin sengit dengan kedua-dua pasukan semakin
rancak
untuk mendapatkan gol, namun kedudukan 4-3 kekal sehingga pengadil
meniupkan wisel penamat.
Liga Super DST-Brunei 2012/2013 akan diteruskan lagi esok, Isnin, 4 Februari, dengan perlawanan di
antara MS Polis Diraja Brunei dengan LLRC FT di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal
Bolkiah bermula pukul 8:15 malam.
|
No comments:
Post a Comment