Search This Blog

Saturday, February 16, 2013

Indera benam Kilanas


Oleh Hasrulraizan

Mohammad Azwan dalam salah satu aksinya ketika mengepalai serangan Indera SC ke kubu pertahanan Kilanas FC. Dia berjaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan ini.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb - Mohammad Azwan Ali Rahman selaku ketua pasukan menginspirasikan kemenangan 4-0 Indera SC ke atas Kilanas FC hari ini bagi terus menekan MS ABDB di persada liga menjelang pertemuan mereka pada perlawanan penutup tirai Liga Super DST-Brunei 2012/2013, 10 Mac nanti.

Namun mereka perlu berterima kasih kepada penjaga gawang utama mereka, Awangku Omar Nur Aqammadin Pengiran Sallehuddin kerana berjaya menghadang kebangkitan Kilanas FC di babak kedua, terutama sekali ketika menyelamatkan sepakan percuma Abdul Qahaar @ Isa Ibrahim dan tendangan penalti Mohd Razi Haji Lamit.

Pada perlawanan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah itu, separuh masa pertama berakhir 1-0 berpihak kepada Indera SC, itu pun hasil gol sendiri jersi 10 Kilanas FC, Mohd Razi pada minit ke-39, ketika cuba menghadang bola hantaran lintang Mohammad Azwan dari sayap kanan.

Babak pertama sepatutnya berakhir dengan jaringan lebih besar di pihak Indera SC, namun kecemerlangan Mohammad Faisal Hashim di gawang Kilanas FC menjadi penghalang.

Separuh masa kedua bermula baik buat Indera SC apabila Mohammad Azwan yang menemui ruang di sayap kiri untuk melakukan hantaran lintang ke dalam Petak D Kilanas FC yang disambut Mohammad Aqmal Hakeem Abdul Hamid mengelirukan Mohammad Faisal sehingga tertolak ke gawangnya sendiri bagi gol kedua Indera SC pada minit ke-48.

Mohammad Azwan menemui ruang lebih luas di sayap kiri pada minit ke-57 untuk berlari pantas masuk ke dalam Petak D Kilanas FC sebelum menyumbat bola masuk antara dua kaki Mohammad Faisal sebelum menerjah gawang bagi gol ketiga Indera SC.

Mohammad Azwan sempat menjaringkan satu lagi gol pada masa-masa kecederaan bagi kemenangan muktamad 4-0 Indera SC ke atas Kilanas FC.

Dengan kemenangan itu Indera SC kekal di tangga kedua, namun merapatkan jurangnya dengan MS ABDB kepada 3 mata saja, tatkala kedua-dua pasukan sudah bermain tujuh kali, sebelum kedua-dua pasukan bertemu buku dengan ruas pada perlawanan kesembilan masing-masing pada 10 Mac itu nanti, yang mungkin menjadi penentu "Juara Liga Super".

Liga akan diteruskan lagi esok, Sabtu, 16 Februari dengan perlawanan antara LLRC FT dengan Majra United FC pada pukul 8:15 malam di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

No comments:

Post a Comment