Search This Blog

Wednesday, February 13, 2013

Majra United FC dan Wijaya FC seri 2-2


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 12 Februari. - Pasukan Majra United FC dan Wijaya FC terpaksa akur setelah hanya mampu berkongsi satu mata dengan keputusan seri 2-2 pada perlawanan Liga Super DST 2012/2013 yang berlangsung malam ini di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah Berakas di sini. Dengan keputusan tersebut, pasukan Majra United FC yang ketika ini menduduki tangga kelima carta liga masih lagi mengekalkan rekod tanpa kalahnya bersama dengan pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) sejak kejohanan liga bermula bulan Disember lalu.

Pada separuh masa pertama, kedua pasukan beberapa kali membuat percubaan untuk membolosi gawang pihak lawan namun strategi permainan yang baik sering menggagalkan percubaan tersebut.



PEMAIN Wijaya FC cuba merampas bola daripada pemain Majra FC.
(Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali) 
 
Pasukan WIjaya FC berjaya menjaringkan gol pertamanya di minit akhir sebelum berakhirnya separuh masa pertama melalui jaringan Marhazif Ahad.

Perlawanan di separuh masa kedua, Majra United sekali lagi terancam apabila pemain jersi 16, Ak. Anaqi Sufi Pg. Haji Omar Baqi dari pasukan Wijaya FC dengan mudah menyumbatkan gol kedua satelah penjaga gol Majra United FC gagal menyelamatkan bola sekaligus memudahkan gol kedua bagi Wijaya FC.

 
Dannie Hendra Mohd. Idris daripada pasukan Majra United menghentikan keceriaan pasukan Wijaya FC seketika apabila pasukan mereka mula bangkit dan berjaya menghasilkan jaringan pertamanya dengan tendangan cantik yang terus membolosi gawang Wijaya FC selang tiga minit selepas gol kedua Wijaya FC dijaringkan iaitu pada minit ke-49.


Pasukan Majra United yang hanya bermain sepuluh orang selepas Yusof Md. Salleh dilayangkan kad merah di separuh masa kedua terus bangkit mengatur serangan sehingga berjaya menyumbat gol kedua melalui jaringan Ahmad Hafiz Said pada minit ke-58 sekaligus menjadikan kedudukan seri dua sama.

Masa tambahan gagal dimanfaatkan oleh kedua pasukan untuk mencari pemenang sehingga wisel penamat perlawanan dibunyikan dan kedua pasukan hanya akur dengan keputusan berkongsi satu mata.
(Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman)



No comments:

Post a Comment