Oleh Hasrulraizan
Salah satu serangan bahaya Majra United FC melalui sepakan sudut, namun gagal menghasilkan gol.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb - Setelah berjaya mengejutkan MS Polis Diraja Brunei dalam perlawanannya sebelum ini, Wijaya FC berjaya pula mengimbangi kekuatan Majra United FC malam ini apabila menghalang pasukan yang belum tewas itu daripada mengutip tiga mata penuh.
Dalam perlawanan di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu Wijaya FC mendahului 1-0 di babak pertama apabila Marhafiz Ahad menjaringkan gol buat pasukannya pada masa-masa kecederaan.
Majra United FC seolah-olah menuju kekalahan pertamanya musim ini apabila Awangku Anaqi Sufi Pengiran Haji Omar menggandakan pendahuluan pasukannya selang seminit bermulanya separuh masa kedua.
Walau bagaimanapun Majra United FC tidak mengaku kalah dan segera mencantas pendahuluan Wijaya FC kepada hanya satu gol setelah Dannie Hendra Mohd Idris menjaringkan gol pada minit ke-49.
Sembilan minit kemudian, kedua-dua pasukan terikat 2-2 apabila Ahmad Hafiz Said pula menemui sasarannya di gawang Wijaya FC, dan walaupun kedua-dua pasukan berusaha keras mencari gol kemenangan, kedudukan 2-2 kekal sehingga perlawanan tamat.
Dengan keputusan seri itu, kedua-dua pasukan mengutip satu mata malam ini, dan nyatanya satu mata itu sudah cukup untuk Wijaya FC memintas Jerudong FC (6 mata) di tangga ke-7, setelah mengumpul tujuh mata dari tujuh perlawanannya.
Majra United FC pula kini berkongsi 13 mata sama dengan Indera SC, MS Polis Diraja Brunei dan LLRC FT, namun hanya mampu menggantikan LLRC FT di tangga keempat menerusi kelebihan perbezaan jaringan iaitu +7 berbanding -1 bagi LLRC FT, sedang MS Polis Diraja Brunei memiliki perbezaan jaringan +8 dan Indera SC +26.
Liga Super DST-Brunei 2012/2013 akan diteruskan lagi esok, Rabu, 13 Februari, bermula pukul 8:15 malam di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, antara pendahulu liga, MS ABDB (16 mata) dengan pasukan di kedudukan ke-6, QAF FC (10 mata), yang baru bermain lima kali.
Pertemuan antara dua pasukan yang merupakan "musuh tradisi" dalam arena liga bolasepak tempatan itu merupakan penjadualan semula perlawanan ke-7 musim ini, yang tertunda dari Minggu Ke-2 Liga berkenaan.
No comments:
Post a Comment