Search This Blog

Thursday, February 28, 2013

Jerudong kejutkan MS Polis


Oleh Hasrulraizan

Pertembungan antara dua kapten, Cpl 4346 Rosmini (hitam), mengetuai serangan MS Polis Diraja Brunei, dengan Md Enddy Zulyady mengetuai pertahanan Jerudong FC.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb - Jerudong FC menamatkan kempen Liga Super DST-Brunei 2012/2013 dengan pungutan sembilan mata selepas berjaya menambah tiga mata lagi malam ini setelah berjaya mengejutkan MS Polis Diraja Brunei dengan kemenangan 2-1.

Keputusan malam ini merubah impian "mungkin" MS Polis Diraja Brunei untuk muncul juara kepada impian "mustahil" apabila kini mata maksimum yang boleh dikutip MS Polis Diraja Brunei (kini mengutip 13 mata) hanyalah 16 mata, tatkala pendahulu liga, MS ABDB sudah pun mengumpul 19 mata, dengan masih berbaki dua perlawanan.

Perlawanan di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu agak hambar di separuh masa pertama dengan kedua-dua pasukan terikat 0-0.

Walau bagaimanapun separuh masa kedua menyaksikan kebangkitan kedua-dua buah pasukan apabila masing-masing mempunyai peluang awal untuk mendahului, namun kecekapan kedua-dua penjaga gol menafikan semua peluang baik berkenaan.

Asnawi Syazni Abdul Aziz memecah kebuntuan dengan jaringannya pada minit ke-58, dan sepuluh minit kemudian, Dahlan Zainuddin menggandakan pendahuluan Jerudong FC.

Walaupun MS Polis Diraja Brunei berjaya merapatkan jurang pada minit ke-76 menerusi jaringan Jasriman Haji Johari, mereka gagal untuk mencari gol penyamaan dan kemenangan, yang mungkin mampu merubah kedudukan mereka, namun kedudukan 2-1 berpihak kepada Jerudong FC kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan kemenangannya itu, Jerudong FC melonjak satu anak tangga ke tangga ke-7, memintas Wijaya FC, yang setakat ini mengumpul 7 mata dan masih mempunyai baki satu perlawanan lagi.
Lawan terakhir MS Polis Diraja Brunei nanti ialah Indera SC, pada Minggu Ke-11 iaitu pada Selasa, 5 Mac 2013, di Balapan & Padang, KSNHB, bermula pukul 8:15 malam.

Minggu Ke-10 Liga Super berkenaan akan diteruskan pada Sabtu, 2 Mac nanti, dengan perlawanan antara QAF FC dengan Majra United FC, di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, bermula pukul 8:15 malam.

No comments:

Post a Comment