TUTONG, 13 Mei – Indera SC melebarkan semula jurang pendahuluan di puncak Liga Super DST-NFABD kepada lapan mata dari pesaing terdekatnya, MS PDB di tangga kedua, selepas berjaya mengenepikan cabaran sengit LLRC FT malam tadi untuk menang tipis 2-1 .
Pada perlawanan pusingan kedua di Kompleks Sukan Tutong itu, LLRC FT memberikan saingan lebih sengit berbanding pertembungan antara keduanya di pusingan pertama pada 17 Mac lalu di tempat yang sama apabila LLRC FT mengalami kekalahan pertamanya dalam kempen musim ini dengan jaringan 0-3.
Berbeza dengan perlawanan pusingan pertama ketika LLRC FT bermain tanpa kelibat pemain berpengaruhnya, Awangku Md Haikal bin Pengiran Zaidi, kali ini kehadirannya jelas memberikan LLRC FT lebih kawalan bola di kawasan tengah padang serta perkhidmatan penghantaran bola ke kawasan bahaya kelas pertama.
Md Ikhmarol Izzat wira Indera SC dalam kemenangan mereka ke atas LLRC FT dalam aksi Liga Super.
Tersentak dengan gol penyamaan Awangku Md Haikal pada minit ke-52 berkenaan, para pemain Indera SC menggandakan asakan untuk mencari gol kemenangan, manakala LLRC FT pula bertambah semangat, juga terus menyerang untuk mencari gol yang boleh menterbalikkan keputusan di pusingan pertama.
Dalam keghairahan kedua-dua buah pasukan mencari gol kemenangan itu, pemain gantian, Md Ikhmarol Izzat bin Haji Omar tampil menjadi wira Indera SC apabila menyudahkan peluang keemasan untuk menjaringkan gol pada minit ke-71, yang turut menjadi gol terakhir malam tadi sekaligus memberikan Indera SC kemenangan 2-1 ke atas LLRC FT.
Indera SC kini mengumpul 29 mata dari 11 permainan, manakala LLRC FT kekal di tangga keenam dengan 15 mata dari 10 permainan, masih berbaki satu perlawanan berbanding Indera SC.
No comments:
Post a Comment