Search This Blog

Friday, May 9, 2014

Kilanas FC berhempas pulas


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Selepas dua kali mendahului sebelum ketinggalan 2-3 pada penghujung separuh masa pertama, kebangkitan semula babak kedua menyaksikan Kilanas FC berhempas pulas untuk menang 4-3 ke atas Jerudong FC malam tadi.

Walaupun tewas 3-4 kepada Indera SC selepas mendahului 3-0 pada malam 4 Mei baru-baru ini, kali ini para pemain Kilanas FC berjaya menterbalikkan kekecewaan itu menjadi inspirasi untuk menang 4-3.
Kilanas FC mendahului Jerudong FC seawal minit ke-11 menerusi jaringan Md Nor Hidayatullah bin Haji Zaini, namun pendahuluan itu hanya bertahan empat minit apabila Md Asnawi Syazni bin Abdul Aziz menyamakan kedudukan.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/05/PAGE21_0905023153338.jpg

Izzul Wazien (tengah) menjaringkan gol keempat Kilanas FC dari sepakan percuma semasa menentang Jerudong FC, semalam.

Walau bagaimanapun Md Nor Hidayatullah mengembalikan semula kelebihan satu gol Kilanas FC menerusi gol kedua peribadinya malam tadi pada minit ke-25 untuk merubah kedudukan kepada 2-1.

Separuh masa pertama seakan berakhir 2-1 berpihak kepada Kilanas FC tetapi Jerudong FC yang keluar padang berehat penuh selesa mendahului 3-2 apabila sempat menjaringkan dua gol lagi iaitu pada minit ke-43 menerusi Md Bazli bin Md Said dan pada masa kecederaan menerusi Md Asnawi Syazni.

Keyakinan Jerudong FC semakin ketara pada babak kedua tetapi gagal menterjemahkannya menjadi gol untuk membunuh perlawanan lebih awal.

Sebaliknya Kilanas FC pula yang berjaya menggegar gawang Jerudong FC pada minit ke-62 menerusi Abang Hariz bin Abang Hadzman untuk mengikat kedudukan 3-3, sekaligus menghasilkan gelombang kebangkitan semula Kilanas FC.

Gol kemenangan Kilanas hadir 10 minit kemudian menerusi sepakan percuma cantik dari tendangan melencong ke kanan Izzul Wazien bin Osman, yang ditepis penjaga gol Jerudong FC tetapi tetap menerjah sudut kiri atas gawang.

Kilanas FC kini mengutip sembilan mata dari tiga menang dan sembilan kalah, kekal di tangga kelapan Liga Super, manakala Jerudong terus kempunan menang dengan catatan empat seri dan empat kekalahan setakat ini untuk sekadar mengumpul 4 mata di tangga tercorot.

No comments:

Post a Comment