Search This Blog

Tuesday, May 20, 2014

Lun Bawang FC juara Liga Perdana


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Lun Bawang FC melengkapkan musim dengan kejayaan menjulang piala Liga Perdana DST 2014 setelah bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk menang 3-2 menentang Tunas FC, semalam.

Dua pemainnya melengkapkan lagi musim Lun Bawang FC apabila turut membolot dua anugerah individu dengan Md Nursyazwan bin Halidi, 21 diumumkan sebagai Pemain Terbaik manakala Md Shafiq bin Abdullah Elan menerima Kasut Emas selaku penjaring terbanyak dengan enam gol.

IKLS yang muncul naib juara dengan 16 mata, lima mata di belakang Lun Bawang FC yang mengumpul mata maksimum, mencacatkan sedikit kesempurnaan musim Lun Bawang FC apabila memenangi Anugerah Permainan Adil.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/05/PAGE24_1905023310794.jpg

Lun Bawang FC muncul juara Liga Perdana DST sekali gus layak beraksi dalam Liga Super DST-NFABD musim depan
.
Menyaksikan final dan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah termasuk Piala Rebutan dan wang tunai $7,000 kepada juara dan $4,000 kepada naib juara ialah Pengurus Am Bagi Kumpulan Anak-Anak Syarikat DST, Haji Matnarudin bin Ibrahim.

Dengan ini, Lun Bawang FC dengan IKLS akan beraksi dalam Liga Super DST-NFABD pula pada musim depan bagi menggantikan dua pasukan tercorot yang akan diturunkan ke Liga Perdana. BSRC FT menduduki tempat ketiga dengan 15 mata, manakala Tunas FC yang seri malam tadi dengan Lun Bawang FC kekal di tangga keempat dengan 13 mata.

Dalam perlawanan malam tadi, Tunas FC mendahului 1-0 pada minit ke-11 menerusi jaringan Md Nazirul Hadi bin Haji Marsal, namun pada minit ke-45 kedudukan berubah 1-1 setelah Md Shafiq menjaringkan gol buat Lun Bawang FC.

Tunas FC mendahului 2-1 apabila Md Azril bin Md Ali menjaringkan gol dari sepakan penalti namun lima minit kemudian giliran Zaimi bin Awat pula menyudahkan sepakan penalti buat Lun Bawang FC bagi mengikat semula kedudukan 2-2.

Lun Bawang FC meraih kemenangan melalui tandukan Christopher Anak Ambun pada minit terakhir masa kecederaan bagi memberikan Lun Bawang tujuh kemenangan daripada tujuh perlawanan untuk mengumpul 21 mata.

No comments:

Post a Comment