Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Walaupun beraksi dengan
10 pemain lebih 60 minit malam tadi, Indera SC berjaya mengukuhkan
kedudukannya di persada Liga Super DST-NFABD dengan kemenangan 2-0 ke
atas Najip FC di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal
Bolkiah (KSNHB).
Apabila penjaga gol utamanya, Md Fakrul Zulhamzi bin
Yussof dilayangkan kad merah pada minit ke-29 kerana menjatuhkan lawan
di luar kotak, rekod tanpa kalah Indera SC nampak goyah.
Namun, kekurangan pemain tidak merubah rentak Indera SC
apabila lebih banyak melakukan serangan bahaya menggunakan kreativiti
dan kepantasan para pemainnya sehingga ia pula mendahului pada minit
ke-42 menerusi jaringan Md Khayrun bin Salleh.
Memulakan separuh masa kedua dengan pendahuluan 1-0,
Indera SC masih terus ghairah mencari gol dengan lebih banyak melakukan
hantaran jarak jauh bersumber dari Noor Raimi bin Karim @ Syahremy
terutama kepada Abang Nor Sillmy bin Abang Haji Taha. Indera SC
melakukan serangan balas pantas yang akhirnya membuahkan hasil pada
minit ke-69 menerusi Hamizan Aziz bin Sulaiman.
Selang dua minit, Najip FC hampir mencantas pendahuluan
Indera SC kepada satu gol saja tetapi tiang kanan Indera SC menjadi
penyelamat kepada tandukan Abang Nor Sillmy dari sepakan sudut kiri,
yang dilihat sudah menewaskan penjaga gol gantian Indera SC, Md Norul
Zulhilmi bin Mustapa.
Pada minit keempat masa kecederaan, Najip FC boleh
berpuas hati meraikan gol sagu hati apabila dihadiahkan sepakan penalti
akibat kekasaran ke atas Md Azri bin Zahari, namun Abang Nor Sillmy
sekadar menyaksikan tendangannya melepasi tiang kiri Indera SC
menyebabkan kedudukan kekal 2-0.
Kemenangan perlawanan kesembilannya itu membawa Indera
SC lima mata di depan pencabar terdekatnya, MS ABDB dan MS PDB, yang
masing-masing mengumpul 18 mata, bezanya MS ABDB baru bermain sembilan
kali manakala MS PDB sudah 10 kali, manakala Najip FC kekal di tangga
keempat dengan 16 mata selepas sembilan permainan.
Perlawanan Indera SC seterusnya menentang Kilanas FC
pada 4 Mei ini di Padang & Balapan, KSNHB, bermula jam 8:15 malam,
sementara lawan berikutnya bagi Najip FC ialah QAF FC pada 6 Mei, juga
di Padang & Balapan, KSNHB, bermula jam 8:15 malam.
No comments:
Post a Comment