BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Percaturan
taktik berkesan pada separuh masa kedua menyelamatkan maruah Indera SC
selepas sikap memandang rendah lawan pada babak pertama mengundang padah
apabila Kilanas FC berjaya merobek gawangnya tiga kali untuk selesa
menamatkan babak pertama dengan pendahuluan 3-0.
Kebangkitan menarik Indera SC dengan catatan purata
sebiji gol setiap sepuluh minit pada babak kedua membuatkan Kilanas FC
berputih mata dari mencatatkan kemenangan bersejarah ke atas pendahulu
Liga Super DST-NFABD itu sekali gus memberikan kekalahan pertamanya
musim ini, sebaliknya Kilanas FC terlepas apa yang sudah dalam
genggaman.
Hamizan
Aziz menjaringkan gol pencetus semangat Indera SC pada minit ke-52
dalam kemenangan 4-3 Indera SC ke atas Kilanas FC, semalam.
Lebih mengujakan lagi, perlawanan di Padang &
Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu sudah nampak
memihak kepada Kilanas FC apabila dua beradik Abang Hazim bin Abang
Hadzman dan Abang Hariz bin Abang Hadzman sudah membawa Kilanas FC ke
depan mendahului 2-0 selepas 13 minit.
Abang Hazim mencipta gol pertama Kilanas FC pada minit
kesembilan, manakala abangnya, Abang Hariz mencetak golnya minit ke-13,
dan tatkala separuh masa pertama dijangka berakhir dengan 2-0, Abang
Hazim masih sempat menjaringkan gol ketiga Kilanas FC.
Sejurus babak kedua bermula, Indera SC sudah menampakkan
hasratnya apabila tujuh minit selepas rehat sudah berhasil mengurangkan
defisit pendahuluan Kilanas FC kepada hanya dua gol menerusi jaringan
Hamizan Aziz bin Sulaiman.
Selang 11 minit kemudian kedudukan menjadi 2-3 selepas
Md Asri bin Aspar pula menemui sasarannya di gawang Kilanas FC, dan
tepat sepuluh minit selepas itu Md Asri menjaringkan gol lagi untuk
mengikat kedudukan kepada 3-3, tatkala perlawanan berbaki 17 minit.
Gol kemenangan Indera diledakkan oleh pemain muda
berbakatnya yang baru berusia 21 tahun iaitu Md Nur Ikwan bin Othman,
pada minit ke-82 perlawanan bagi memberikan Indera SC tiga mata lagi
untuk mengekalkan kejuaraan Liga Super yang dimenanginya tahun lalu.
No comments:
Post a Comment