Search This Blog

Thursday, January 31, 2013

Kilanas gigit jari


Oleh Hasrulraizan

Perebutan bola di antara dua pemain Kilanas FC (merah) dengan seorang pemain MS Polis Diraja Brunei.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan - MS Polis Diraja Brunei mendahului Kilanas FC 2-1 di separuh masa pertama sebelum memastikan kemenangan menjadi milik mereka dengan satu lagi jaringan di babak kedua bagi memenangi perlawanan dengan jaringan 3-2, sekaligus membawanya mendaki ke tempat kedua Liga Super DST-Brunei 2012/2013.

Kilanas FC seolah-olah sudah melakukan yang cukup untuk sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata daripada perlawanan di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu apabila Ketua Pasukan Kilanas FC, Kurmin @ Ridhwan Awang Haji Bini menjaringkan gol kedua peribadi dan pasukannya bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-71 melalui sepakan penalti.

Kedudukan seri 2-2 itu hanya kekal selama tiga minit apabila APO 6712 Md Syarafuddin Hamdi Talip menjaringkan gol pada minit ke-74 bagi menjadikan kedudukan berubah kepada 3-2, yang nyatanya menjadi gol terakhir perlawanan malam ini sekaligus memberikan kemenangan kepada MS Polis Diraja Brunei.

Awal sebelum itu MS Polis Diraja Brunei memanfaatkan dua peluang terbaiknya untuk menjaringkan gol dengan menjaringkan kedua-dua gol bagi selesa mendahului Kilanas FC dengan jaringan 2-0.

Kurmin @ Ridhwan menyuntik semangat rakan-rakannya apabila memenangi bola hantaran tinggi dari sepakan sudut kanan dengan kepalanya bagi menggegar gawang kanan sebelah atas MS Polis Diraja Brunei pada minit ke-39 bagi menjadikan kedudukan 1-2.

Dengan berakhirnya Minggu Keenam berkenaan, tiga buah pasukan kini sama-sama memungut 13 mata iaitu Indera SC, MS Polis Diraja Brunei dan MS ABDB, dengan hanya perbezaan jaringan, jaringan gol dan bolos saja sebagai penentu kedudukan mereka.

No comments:

Post a Comment