Search This Blog

Saturday, January 26, 2013

LLRC pintas Wijaya



Oleh Hasrulraizan

Antara aksi pertemuan LLRC FT (biru) dengan Wijaya FC (putih) untuk saingan Liga Super DST semalam.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan - LLRC FT menggagalkan peluang Wijaya FC untuk memanjat empat anak tangga dan memintasnya di tangga kelima dengan bangkit dari ketinggalan 0-1 untuk menang 4-1 bagi mengutip tiga mata penuh.

Dalam kancah Liga Super DST-Brunei 2012/2013 pada minggu keenamnya yang bermula malam ini di Stadium Negara Hassanal Bolkiah (SNHB), kedua-dua buah pasukan berbalas-balas serangan di babak pertama sehingga Wijaya FC mendahului 1-0 pada minit ke-36 menerusi sepakan penalti.

Sepakan penalti yang diberikan pengadil apabila bola terkena tangan pertahanan LLRC FT di dalam Petak D itu telah disempurnakan oleh Zulkefly Duraman yang menendang dengan tenang sekaligus berjaya menghantar penjaga gol LLRC FT ke arah yang salah.
Walau bagaimanapun tatkala separuh masa akan berakhir beberapa saat lagi, Md Helmie Md Noorazmi berjaya menanduk bola masuk dari hantaran silang rakannya di sayap kiri sekaligus menewaskan penjaga gol gantian Wijaya FC, bagi membawa jaringan 1-1 ke separuh masa kedua.

Md Helmie menggandakan jaringannya selang empat minit bermulanya babak kedua bagi membawa pasukannya mendahului 2-1, setelah sekali lagi berjaya menewaskan penjaga gol yang terpaksa dimasukkan setelah penjaga gol utama Wijaya FC mengalami kecederaan sebelum Zulkefly menyempurnakan sepakan penaltinya.

Tanpa penjaga gol utamanya yang bermain sangat cemerlang sebelum terpaksa dikeluarkan itu, pertahanan Wijaya FC menjadi goyah dan ia terbukti apabila gawangnya dibolosi buat kali ketiga pada minit ke-71 menerusi rembatan Awangku Md Azrul Ariffin Pengiran Matussin dan Safuan bin Johar menambah mata pada minit ke-74.

Kedudukan 4-1 kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat, bagi memberikan LLRC FT 3 mata berharga bagi mengumpul 9 mata, namun masih kekal di tangga kelima, di belakang MS ABDB (12 Mata), Majra United FC (11 Mata), MS Polis Diraja Brunei (10 Mata) dan Indera SC (10 Mata).

Minggu keenam Liga akan diteruskan lagi esok, Sabtu, 26 Januari di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) dengan perlawanan antara pasukan tercorot Najip FC, dengan pasukan di kedudukan keempat Indera SC, bermula 8:15 malam.

No comments:

Post a Comment