Oleh Hasrulraizan
Serangan bahaya Wijaya FC dari sepakan percuma yang cuba diselamatkan penjaga gol MS ABDB dalam
perebutan bola di dalam Petak D MS ABDB.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan - Majlis Sukan (MS) ABDB melakukan cukup baik untuk meraih tiga mata berharga di perlawanan keduanya dalam kancah Liga Super DST-Brunei 2012/2013 petang ini, sekalipun terpaksa menunggu sehingga minit ke-93 untuk menjaringkan gol kemenangan.
Dengan kemenangan keduanya selepas kemenangan tipis 2-1 ke atas MS Polis Diraja Brunei di perlawanan pertamanya yang lalu, MS ABDB mendaki ke tangga kedua dengan kutipan 6 mata penuh, di belakang LLRC FT yang juga memungut 6 mata penuh tetapi memiliki perbezaan gol +5 berbanding +2 bagi MS ABDB.
Tatkala perlawanan seimbang di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu jelas menuju kepada keputusan seri 0-0, Soldadu Mohammad Safari Waie menjadi wira MS ABDB apabila berjaya menjaringkan gol pada masa kecederaan iaitu tiga minit selepas tempoh masa sebenar perlawanan, 90 minit, berakhir.
Jaringan itu jelas memberikan keceriaan kepada para pegawai dan pemain MS ABDB, tetapi sebaliknya menyebabkan para pemain Wijaya FC seolah-oleh terpaku ke bumi demi menyedari 1 mata terlepas dari tangan mereka, sekali gus menyebabkan mereka kekal di kedudukan ketujuh.
Sementara itu dalam perlawanan pada malam ini di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Kilanas mengutip mata pertamanya apabila menyamakan kedudukan di akhir perlawanan bagi keputusan seri 3-3 dengan Jerudong FC yang sebelum ini meratah Najip FC 6-0 di perlawanan kedua, sekali gus menghalang Jerudong FC dari menduduki takhta Liga berkenaan.
Walaubagaimanapun keputusan seri itu sudah cukup untuk Jerudong FC merampas kedudukan ketiga dari Majra FC, yang menang 4-1 ke atas Najip FC semalam, walaupun kedua-dua pasukan (Jerudong FC dan Majra FC) mengutip 5 mata sama, kerana Jerudong mempunyai perbezaan gol +6 berbanding +2 bagi Majra FC.
Kurmin @ Ridhwan Awang Haji Bini menjadi wira Kilanas FC apabila menyumbatkan gol penyamaan pada minit ke-89 iaitu 8 minit selepas Asnawi Syazni Abdul Aziz menjaringkan gol ketiga Jerudong FC, bagi meniupkan angin kekecewaan kepada Jerudong FC yang kehilangan 2 mata berharga tatkala perlawanan berbaki seminit saja lagi.
Jerudong FC bermula cemerlang dengan jaringan awal minit pertama perlawanan menerusi Md Esmendy Brahim, dan 12 minit kemudian kedudukan menjadi 2-0 apabila Muhd Abu Bakar Mahari pula menyumbatkan gol untuk Jerudong FC. Dua minit sebelum babak pertama berakhir, Izzul Wazien Osman mengobarkan semula semangat Kilanas FC dengan golnya, untuk memulakan babak kedua dengan hanya ketinggalan satu gol iaitu 1-2.
Mohd Razi Haji Lamit menjadikan perlawanan bertambah hebat apabila menyumbangkan gol kedua Kilanas FC pada minit ke-63 bagi menjadikan kedudukan terikat 2-2. Minggu Ketiga Liga Super DST-Brunei 2012/2013 akan diteruskan lagi esok, Isnin, 7 Januari bertempat di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dengan Perlawanan Ke-15 antara pendahulu Liga berkenaan, LLRC FT (6 mata) dengan pasukan di kedudukan kelima pada ketika ini, Indera SC (4 mata).
No comments:
Post a Comment