Dengan kutipan satu mata tersebut kedudukan liga masih tidak berubah selepas pasukan Indera Sc menguasai sementara kedudukan teratas walaupun berkongsi 13 mata bersama pasukan MS ABDB namun dipisahkan oleh jurang kutipan gol.
AKSI perlawanan bolasepak Liga Super DST di antara MS ABDB dengan Majra FC berlangsung di Kompleks Balapan dan Padang Stadium Negara Hassanal Bolkiah Berakas. (Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah)
Majra United FC yang tampil dengan azam mengekalkan rekod tanpa kalah hampir mendahului pasukan MS ABDB pada minit ke-21 namun percubaan Md. Ikmal Hakim kurang sempurna sehingga dengan mudah ditepis oleh Sld Md. Tarmizi. MS ABDB yang sering melakukan umpanan bola jauh selalu membuat pasukan Majra United FC merasa cemas sekalipun belum memperolehi sebarang jaringan.
Minit ke-27 menyaksikan pasukan MS ABDB berada di depan selepas sepakan Kpl (U) berjaya merobek gawang pasukan Majra United FC setelah menyaksikan penjaga gol Abi Yazid terkeluar dari kedudukannya.
Namun hantaran lintang Dannie Hendra dari sebelah kanan ke kiri padang kepada Md. Ikmal Halim pada minit ke-39 hampir menyamakan kedudukan tetapi sepakannya liar.
Dua minit kemudian kedudukan kembali seimbang apabila sepakan percuma Shahremy berjaya merobek gawang Pasukan MS ABDB setelah bola yang disepaknya terkena ketua pasukan tentera, Sld Md. Safari yang secara langsung mengelirukan penjaga gol.
Abang Nor Silmy kembali meletakkan pasukan Majra United FC 2 - 1 di hadapan pada minit ke-76 melalui tandukannya sekalipun cuba dihadang dua pertahanan tentera.
Namun Sld Md. Baharain menjadi penyelamat maruah kepada pasukan MS ABDB dari tercalar selepas sepakan kencangnya menyamakan kedudukan setelah dua percubaan rakannya gagal menembusi hadangan.
Empat minit masa tambahan gagal dimanfaatkan oleh kedua pasukan untuk mencari pemenang sehingga kedudukan tidak berubah sekaligus keduanya mempertahankan rekod tanpa kalah.
Pengurus Pasukan Majra United FC, Suhaimi Majid selepas perlawanan melahirkan sedikit kekecewaan setelah pasukanya terikat dengan pasukan tentera sekalipun pada perlawanan tersebut terutama separuh masa kedua pasukannya lebih menguasai permainan.
(Oleh : Abu Bakar Haji Abdul Rahman)
No comments:
Post a Comment