Oleh Hasrulraizan
Aksi menarik perlawanan di antara MS Polis Diraja Brunei (Merah) dengan Najip FC, semalam.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan - Misi Najip FC untuk mengutip mata pertamanya terbantut lagi malam ini apabila terpaksa akur dengan kekuatan MS Polis Diraja Brunei, bagi kekalahan keempat berturut-turut mereka dalam kancah Liga Super DST-Brunei 2012/2013.
MS Polis Diraja Brunei yang pada minggu lalu mengejutkan QAF FC dengan jaringan 4-1, tidak punya masalah untuk menewaskan Najip FC pada perlawanan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah (SNHB) berkenaan apabila membenam pasukan tercorot Liga Super berkenaan dengan jaringan 5-0.
Pada perlawanan pertama Minggu Keempat Liga Super berkenaan, MS Polis Diraja Brunei hanya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama sebelum menjaringkan 4 gol pada 20 minit terakhir perlawanan termasuk dua gol pada masa-masa kecederaan.
Gol pertama MS Polis Diraja Brunei hadir pada minit ke-15 menerusi jaringan PC 5701 Mohd Fazizzul Hussin, manakala gol kedua terhasil pada minit ke-70 melalui rembatan APO 6712 Md Syarafuddin Hamdi Haji Talip.
PC 5701 Mohd Fazizzul menjaringkan gol kedua peribadinya dan gol ketiga pasukannya pada minit ke-78, dan tatkala perlawanan dilihat berakhir 3-0, Cpl 4346 Rosmini Haji Abu Bakar mengejutkan pertahanan Najip FC dengan dua gol pada masa-masa kecederaan iaitu minit ke-91 dan ke-92.
Kemenangan itu melonjakkan MS Polis Diraja Brunei ke tangga kedua Liga Super berkenaan di belakang Indera SC, yang juga mengumpul 7 mata (dari 3 perlawanan), namun mempunyai perbezaan gol yang lebih tinggi iaitu +8 berbanding +7 bagi Najip FC.
Liga Super DST-Brunei 2012/2013 akan diteruskan lagi esok, Sabtu, 12 Januari, dengan pertembungan antara QAF FC dengan Wijaya FC bertempat di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), bermula pada pukul 9:00 malam.
Sepak mula yang lewat berbanding waktu biasa pukul 8:15 malam itu adalah bagi menghormati Majlis Dikir Maulud Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassalam yang akan diadakan bermula malam esok di masjid, surau dan balai ibadat di seluruh Negara hingga malam 24 Januari ini nanti.
Selepas perlawanan Ke-16 Liga Super DST-Brunei 2012/2013 berkenaan Indera SC kekal di puncak Liga, diikuti MS Polis Diraja Brunei, dan mengekori rapat di tempat ketiga dan keempat ialah pasukan yang baru bermain dua kali iaitu MS ABDB, dan LLRC FT, yang masing-masing mengumpul 6 mata.
Di kedudukan kelima dan keenam ialah Jerudong FC dan Majra United FC, yang masing-masing mengumpul 5 mata hasil satu menang dan dua seri, manakala Wijaya FC di tempat ketujuh dengan 3 mata menerusi kemenangan sekali dan kekalahan dua kali.
QAF FC dan Kilanas FC berkongsi 1 mata, dengan QAF FC yang baru bermain dua kali mempunyai perbezaan jaringan -3 berbanding -5 bagi Kilanas FC, yang sudah bermain tiga kali, manakala Najip FC kekal di tangga tercorot Liga, masih tanpa sebarang mata.
No comments:
Post a Comment