Search This Blog

Thursday, January 31, 2013

MS PDB kukuhkan kedudukan, tumpaskan Kilanas FC 3-2



BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 Januari. - Pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (MS PDB) melonjak naik ke tangga kedua di carta kedudukan Liga Super DST 2012/2013 sekaligus meningkatkan saingan kepada pendahulu liga Indera SC. Pasukan MS PDB mengukuhkan kedudukan selepas menewaskan Pasukan Kilanas FC dalam siri perlawanan ke-30 di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas di sini dengan jaringan 3-2.
Dengan kemenangan tersebut Pasukan MS PDB berjaya memintas dua pasukan pendahulu iaitu Majra United FC dan MS ABDB sekali gus berkongsi 13 mata bersama MS ABDB dan pendahulu liga Indera SC.



PERLAWANAN di antara pasukan MS PDB (jersi hitam) dengan pasukan Kilanas FC (jersi merah) dalam Perlawanan Liga Super DST 2012-2013 yang berlangsung di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
(Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali) 

 
Pasukan MS PDB merasa lebih selesa apabila dihadiahkan dua gol di awal perlawanan menerusi Cpl. 4346 Rosmini yang masing-masing dilakukannya selang dua minit iaitu pada minit ke-12 dan 14.
Pasukan Kilanas FC merapatkan kedudukan apabila Kurmin Haji Bini berjaya menjaringkan gol pertama sekali gus merubah kedudukan 2-1 sewaktu permainan berbaki lima minit untuk ditamatkan pada separuh masa pertama.
Kurmin Haji Bini menjadi wira pasukan Kilanas FC selepas berhasil menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-71 menerusi sepakan penalti selepas beliau dijatuhkan dalam petak 'D' oleh 6433 APO Aisamuddin.



PEREBUTAN Bola di antara pemain MS PDB dengan pemain Kilanas FC dalam Perlawanan Liga Super DST 2012-2013 yang berlangsung di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. (Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali) 
 
Kedudukan seimbang hanya bertahan tiga minit selepas rembatan jarak dekat pemain gantian APO 6712 Md. Syarafudfin berjaya membawa kemenangan kepada pasukan MS PDB.
"Gol kemenangan malam ini merupakan hasil kerjasama yang baik dari rakan-rakan semua kerana tanpa adanya persefahaman, gol tersebut tidak akan dapat dicipta," ujar Md. Syarafudfin sejurus berakhir perlawanan.
Dengan kekalahan tersebut pasukan Kilanas FC kekal berada di tangga ke-8.
(Oleh : Abu Bakar Haji Abdul Rahman)


No comments:

Post a Comment