Search This Blog

Wednesday, January 23, 2013

Kilanas raih kemenangan sulung



Oleh Hasrulraizan

Mohamed Azmi (merah) berjaya menyumbangkan dua gol awal buat Kilanas FC mendahului Najip 2-0.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan - Kilanas FC akhirnya berjaya mencatat kemenangan pertamanya malam ini dalam kancah Liga Super DST-Brunei 2012/2013 apabila mengalahkan pasukan tercorot, Najip FC dengan jaringan besar 7-1, sekaligus memintas Wijaya FC di tempat kelapan dan QAF FC di tangga ketujuh.

Pada perlawanan di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu, Mohamed Azmi Haji Zainin memberikan pendahuluan 2-0 buat Kilanas FC, kedua-duanya hasil jaringan mudah ke gawang terbuka apabila bola muntah dari tangan penjaga gol Najip FC, Md Norshah Md Haris pada minit ketujuh dan ke-19.

Rembatan kaki kiri Mohammad Khalid Wassadi Salleh dari dalam petak D Najip FC pada minit ke-29 menjadikan kedudukan 3-0, dan Awangku Khairul Lizam Pengiran Bungsu menambah luka Najip FC apabila sempat menjaringkan gol dalam situasi 1-lawan-1 dengan Md Norshah seminit sebelum babak pertama berakhir bagi membekalkan pendahuluan 4-0 kepada Kilanas FC.

Masuk ke babak kedua, Kilanas meneruskan rentak permainan menyerangnya yang membuahkan hasil sekali lagi pada minit ke-62 menerusi rembatan jarak jauh Mohd Nor Hidayatullah Haji Zaini dari luar petak D Najip FC bagi melebarkan jurang pendahuluan Kilanas FC kepada 5-0.

Kedudukan berubah menjadi 6-0 pada minit ke-79 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Muhd Nazirul Zulhimi Haji Anuar, namun seminit kemudian Najip FC pula dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan oleh Huzaimi Haji Tengah bagi merubah kedudukan kepada 1-6.

Walaubagaimanapun Mohd Nor Hidayatullah masih sempat menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-84 bagi gol ketujuh Kilanas FC, dan kedudukan 7-1 kekal sehingga perlawanan ditamatkan pengadil.

Kedua-dua pasukan sedar perlawanan malam ini amat penting apabila ia mungkin satu-satunya peluang mereka mencatat kemenangan dalam liga 10 kelab tempatan terbaik itu, tatkala kedua-dua pasukan penghuni setia dua tangga terbawah.

Walaupun keputusan perlawanan malam ini tidak mampu merubah kedudukan enam pasukan teratas, ia merupakan perlawanan yang cukup penting buat kedua-dua buah pasukan bagi 'kelangsungan hidup' mereka di liga utama.

Namun jelas sekali pasukan mana yang lebih mahukan kemenangan pada malam ini, dengan agresif melakukan serangan, yang nyatanya membuahkan hasil, bukan saja bagi menjaringkan gol tetapi juga mengutip 3 mata penuh, yang mungkin menjadi penyelamat Kilanas FC daripada jatuh ke Liga Perdana di musim akan datang.

Kini dengan empat mata selepas mengharungi lima daripada sembilan perlawanan, Kilanas FC menghuni tangga ke-7, kedudukan terbaiknya setakat ini, menjatuhkan Wijaya FC ke tangga ke-9 dan QAF FC ke tangga ke-8, manakala Najip FC terus terpasak di lantai paling bawah Liga berkenaan, tanpa mengutip sebarang mata setelah tewas kelima-lima perlawanannya.

Kilanas FC kini mengutip empat mata sama dengan QAF FC, dengan perbezaan jaringan yang sama juga iaitu -1, namun Kilanas FC mendahului QAF FC, yang baru bermain tiga kali itu, dengan jaringan 13 gol berbanding lima gol bagi QAF FC.

No comments:

Post a Comment