Search This Blog

Wednesday, January 23, 2013

Liga Super saksikan perubahan besar


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan - Berakhirnya minggu kelima Liga Super DST-Brunei 2012/2013 semalam menyaksikan perubahan besar "Jadual Kedudukan" melibatkan empat pasukan teratas dan empat pasukan terbawah.

Indera SC yang sebelum ini menerajui liga berkenaan kini jatuh ke tangga keempat setelah mengalami kekalahan pertamanya dalam kancah liga anjuran NFABD itu, oleh pasukan yang kini melonjak dari tangga ketiga ke tangga kedua iaitu pasukan yang boleh pernah tewas, Majra United FC.

Menakluki puncak liga ketika ini ialah MS ABDB, yang merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya mengutip mata maksimum dalam keempat-empat perlawanannya setakat ini bagi mengumpul 12 mata, kurang satu perlawanan berbanding tiga pesaingnya di empat tangga teratas liga.

Tatkala dua tangga teratas dihuni dua pasukan yang belum pernah tewas, MS ABDB (12 mata) dan Majra United FC (11 mata), MS Polis Diraja Brunei yang menang 2-1 ke atas Wijaya FC pada Minggu Kelima sudah cukup untuk turut memintas Indera SC kerana mempunyai kelebihan perbezaan jaringan iaitu +8 berbanding +7 bagi Indera SC, sekalipun mengutip 10 mata sama.

Akan memasuki Minggu Keenamnya Jumaat ini, LLRC FT dan Jerudong FC mengekalkan kedudukan masing-masing di tangga ke-5 dan ke-6, masing-masing dengan 6 mata dan 5 mata.

Kilanas FC pula yang mencatat kemenangan pertamanya (7-1 ke atas Najip FC semalam) dalam kancah liga berkenaan memperbaiki kedudukannya dari tangga ke-9 ke tangga ke-7 bagi memintas QAF FC dan Wijaya FC, setelah mengumpul 4 mata dari lima perlawanan.
QAF FC walaupun turut mencatatkan kemenangan pertamanya melalui kemenangan 2-0 ke atas LLRC FT pada Minggu Kelima yang lalu, dipintas Kilanas FC menerusi jaringan gol Kilanas FC yang lebih tinggi iaitu 13 gol berbanding 5 gol bagi QAF FC, tatkala kedua-dua pasukan sama-sama mengutip 4 mata dan perbezaan jaringan -1.

Namun apa yang membezakan QAF FC dari sembilan pasukan lagi dalam Liga Super berkenaan ialah, QAF FC masih mempunyai baki enam perlawanan berbanding empat ke lima perlawanan lagi bagi pasukan-pasukan lain kerana baru mengharungi 3 perlawanan setelah dua perlawanan awalnya terpaksa ditunda ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian oleh NFABD.

Wijaya FC kekal mengutip 3 mata dan jatuh ke tangga ke-9, setelah mengalami kekalahan ketiganya, dengan yang terkini tewas 1-2 kepada MS Polis Diraja Brunei.

Najip FC pula sebaliknya mengekalkan kedudukan paling bawah setelah menjadi satu-satunya pasukan yang tewas kesemua perlawanannya setakat ini (5 perlawanan), dengan jumlah bolos yang tinggi iaitu 29.

Tatkala mata setiap pasukan terutama sekali empat pasukan teratas masih berhampiran antara satu dengan yang lain, Minggu Keenam pastinya menjanjikan perlawanan-perlawanan yang tidak kurang hebatnya kerana empat pasukan teratas masih berebutkan gelaran "Juara Pertama", manakala pasukan-pasukan di bawah cuba mengelak menjadi pasukan pertama yang tersingkir.

Dalam kenyataannya, NFABD telah memaklumkan bahawa atas satu-satu sebab yang tidak dapat dielakkan, perlawanan ketujuh, antara MS ABDB dengan QAF FC yang telah dijadualkan semula pada esok malam, 23 Januari 2013, telah pun ditunda ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

No comments:

Post a Comment