Oleh Hasrulraizan
SLD Mohd Baharin mendepakan kedua-dua tangannya seolah-olah kepak burung setelah menjaringkan gol
kedua MS ABDB pada minit ke-90 bagi menjadikan kedudukan seri 2-2.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jan - Soldadu Mohd Baharin Hamidon menyelamatkan maruah MS ABDB daripada mengalami kekalahan pertamanya dalam Liga Super DST-Brunei 2012/2013 apabila menjaringkan gol kedua dan penyamaan tepat pada minit ke-90 perlawanan bagi seri 2-2 dengan Majra United FC.
Keputusan seri pada Perlawanan Ke-29 di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) tu bukan saja mengekalkan kedua-dua buah pasukan di kedudukan kedua dan ketiga, tetapi juga mengekalkan rekod tanpa kalah mereka setelah enam minggu berlangsungnya liga kebangsaan anjuran NFABD itu.
Pemain jersi 11 Majra United FC, Abang Nor Silmy Abang Haji Taha seolah-olah telah memberikan kemenangan kepada pasukannya apabila berjaya menanduk bola masuk dari sepakan percuma pada minit ke-76 bagi menjadikan kedudukan 2-1, selepas separuh masa pertama berakhir 1-1.
Jersi 20 MS ABDB, Koperal (U) Mohd Hardi Haji Matassan menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-27 menerusi tendangan melambung dari luar Petak D Majra United FC yang melemaskan Abi Yazid Yussof di gawang Majra United FC untuk memberikan MS ABDB pendahuluan 1-0.
Tatkala babak pertama akan berakhir dengan kelebihan satu gol kepada MS ABDB, pemain jersi 21 Majra United FC, Noor Raimi @ Shahremy Karim bernasib baik untuk melihat bola tendangannya dari sepakan percuma di sebelah kanan Petak D MS ABDB sempat melantun dari kaki Ketua Pasukan MS ABDB, Soldadu Mohammad Safari Wahit untuk menewaskan Soldadu Mohd Tarmizi Haji Mat Johari di gawang MS ABDB.
Separuh masa kedua bermula sebagaimana rentak hambar perlawanan di 45 minit pertama perlawanan dengan bola hanya berkisar di kawasan tengah dengan perlawanan kerap kali diberhentikan pengadil, Md Ali Dzulfikri Haji Md Taib, bagi memberikan sepakan percuma.
Perlawanan hanya menjadi hangat dan rancak selepas Abang Nor Silmy, yang sering memenangi bola di udara bagi Majra United FC, menjadikan tandukannya pada minit ke-76 menjadi tandukannya yang paling bernilai apabila berjaya menggegar gawang MS ABDB apabila tandukan melambungnya itu melangkaui jangkauan Soldadu Mohd Tarmizi.
Pertemuan yang dijangka hebat antara dua buah pasukan yang belum kalah itu barulah menjadi hebat dalam tempoh 24 minit terakhir perlawanan dengan MS ABDB mula meletakkan tiga penyerang dalam usahanya mencari gol penyamaan, manakala Majra United FC cuba bertahan di bawah pimpinan kaptennya, Yusof Md Salleh.
Ketika tiga mata seolah-olah sudah di dalam genggaman Majra United FC, pemain jersi lapan MS ABDB, Soldadu Md Baharin merembat kencang dari sudut kanan gawang Majra United FC bagi menggegar sudut kiri sebelah atas gawang tatkala sudah kelihatan pengadil keempat Haji Shamsuri Haji Tuah bersiap sedia untuk mengangkat 'papan masa' yang menunjukkan angka empat menandakan empat minit masa kecederaan diberikan.
Empat minit masa kecederaan itu dirasakan panjang buat kedua-dua buah pasukan, yang masih berusaha mencari gol kemenangan terutama sekali MS ABDB, namun keputusan 2-2 menjadi keputusan yang adil bagi kedua-dua buah pasukan "Calon Juara" Liga Super DST-Brunei berkenaan.
MS ABDB yang baru bermain lima kali kini mengumpul 13 mata, sama dengan Indera SC di puncak liga, yang sudah bermain enam kali dan mempunyai kelebihan +26 perbezaan jaringan berbanding +8 bagi MS ABDB, manakala Majra United FC kekal di tangga ketiga dengan 12 mata.
Penutup tirai Minggu Keenam adalah antara pasukan di tangga ke-7, Kilanas FC, dengan pasukan di kedudukan ke-3, MS Polis Diraja Brunei pada Rabu, 30 Januari di Balapan dan Padang, KSNHB bermula pukul 8:15 malam, dengan MS Polis Diraja Brunei (10 mata) berpeluang untuk memintas tiga pasukan teratas liga berkenaan jika berjaya mengalahkan Kilanas FC.
No comments:
Post a Comment